Sunday, May 2, 2010

Skrip Drama TV 1: Katsarin (pengenalan)

Format berikut digunakan untuk 'presentation' kepada TV2 untuk rancangan drama RTM. Peringkat pertama untuk membolehkan rancangan diterima adalah membentuk sinopsis rancangan bagi memberi idea kepada pihak penerbit bagaimana kita mahu rancangan kita bergolak...

(Katsarin telah disiarkan di TV2 pada bulan-bulan Mac - April 2010)

FORMAT PRESENTATION UNTUK TV1/TV2

TAJUK: Katsarin

KONSEP: Drama Bersiri (Aksi Pengembaraan)

DURASI: 60 Minit x 26 Episod

IDEA ASAL: Mahadzir Othman

SKRIP OLEH: Mahadzir Othman

PENGENALAN

Sebuah cerita romantik komedi, Katsarin cuba mempertengahkan pelbagai aspek menarik yang digarap untuk menjadikan ianya satu drama yang menghiburkan serta penuh dengan mesej-mesej yang menarik. Mengambil lokasi Langkawi dengan perkembangan kawasan perdagangan utara sebagai latar dan lokasi drama, Katsarin mahu mempertengahkan pelbagai kualiti kesenian tempatan seperti pencat silat, penggunaan herba tempatan, ramah tamah penduduk tempatan diadun dengan seni mempertahankan diri luaran seperti muey thai yang terkenal seluruh dunia, penggunaan canggih alat-alat moden dan ketulusan budaya serantau untuk menjadikan sebuah drama komedi romantik yang menghiburkan.

Katsarin membawa kisah seorang gadis hartawan Thai telah hanyut di lautan di utara semenanjung dan telah diselamatkan oleh Zali, seorang penulis novel yang kehilangan semangat untuk menulis. Satu percubaan membunuh keluarga Katsarin ketika mereka di dalam percutian di selatan Thailand telah menyebabkan Katsarin dihanyut dibawa arus sehingga ke Langkawi di mana dia diselamatkan. Katsarin telah tidak sedarkan diri selama beberapa hari. Disebabkan musim ribut dan hujan, Zali telah menempatkan Katsarin di rumah kawan baiknya Halim (yang juga merupakan pemilik chalet tempat mereka tinggal). Zali dan Erina (adik kepada Halim) telah bertungkus lumus cuba menyelamatkan Katsarin yang demam akibat terlalu lama di laut. Kulit muka dan badannya yang dibakar matahari telah diubati Erina dengan menggunakan rumusan herba tempatan yang dipelajarinya dari datuknya dan dari universitinya. Dia merupakan lulusan ijazah herbalogi universiti tempatan. Bagaimanapun setelah sedar, Katsarin tidak dapat mengingati siapa dirinya dan bagaimana dia boleh hanyut. Dia cuma dapat bertutur dengan lancar di dalam bahasa Thai dan Inggeris serta sedikit Bahasa Melayu. Ini membuat Zali mengandaikan Katsarin adalah seorang pelancong Thai dan menantikan ribut reda untuk membuat laporan ke balai polis.

Zali telah kematian isteri hampir dua tahun yang lalu dan kini membawa diri untuk tinggal di calet kepunyaan kawannya dengan membantu mereka melakukan kerja-kerja sambilan. Dia kehilangan semangat menulis novel. Erina adalah di antara peminat novel tulisan Zali yang kerap membawa tema kesetiaan di dalam persahabatan dan cinta yang satu. Erina kerap meminta Zali kembali menulis novelnya dan ini membuat hubungan mereka agak tegang. Zali merasakan Erina terlalu mendesak dan Erina pula tidak mahu Zali mengetepikan bakatnya. Mereka kerap bergaduh apabila bersua. Bagaimanapun, apa yang tidak diketahui Erina adalah, persamaan wajahnya dengan wajah isteri Zali yang telah meninggal. Boleh dikatakan Zali hanya tinggal di calet kepunyaan kawannya kerana adanya Erina di situ. Walaupun dia tidak mahu menyintai Erina tetapi dia mahu berada dekat dengannya. Erina pula menyukai Zali kerana sikap Zali yang begitu mengambil berat akan orang di dalam kesusahan. Zali akan melakukan apa sahaja untuk membantu orang di dalam keperluan walaupun membahayakan dirinya. Dalam pada itu, sayangnya kepada kanak-kanak turut disenangi Erina. Zali sangat rapat dengan Sue, anak rakannya Halim juga merupakan anak saudara Erina.

Zali dilihat sebagai watak yang agak lasak dan 'adventurous'. Pada permulaan cerita kita melihat bagaimana dia berusaha mengeluarkan beberapa remaja yang tersesat di hutan. Erina pula dilihat sangat mengambil berat akan Zali. Di samping memarahi Zali kerana masuk ke hutan mencari remaja berkenaan, dia begitu peka dengan kesan-kesan calar dan luka pada badan Zali ketika menyelamatkan remaja-remaja tersebut. Bilamana mereka yang perlu diberi perhatian adalah remaja yang tersesat beberapa hari di hutan, Erina memberi tumpuan kepada Zali. Ini membuat penonton faham isi hati Erina.

Pada senario yang berasingan, kita melihat bagaimana watak Katsarin diketengahkan. Katsarin seorang gadis moden tetapi dididik dengn penuh tata susila bangsawan Thai. Mempunyai wajah yang cantik dan anak seorang jutawan. Hubungan dengan ayahnya agak renggang. Masing-masing tidak mengenali sesama sendiri. Ayah Katsarin lebih rapat dengan Phapop, pembantu peribadinya yang dianggap seperti anak lelakinya. Jadi tidak hairanlah Katsarin tidak sukakan Phapop sehinggakan bila dia di dalam amnesia pun dia masih menyangka Phapop adalah musuhnya.

Cubaan membunuh Katsarin dan ayahnya didalangi adik ayah Katsarin sendiri iaitu Chukiat. Dia mahu menguasai syarikat milik ayah Katsarin dan mahu menggunakan dagangan ekspot syarikat mereka dengan menyeludup barang-barangan berharga. Bagaimanapun, ayah Katsarin tidak menyukai kaedah tidak jujur tersebut lalu mahu membuang Chukiat dari syarikatnya. Ini tidak disenangi Chukiat. Peluang terbaik membunuh membunuh ayah Katsarin dan Katsarin adalah ketika mereka bercuti di selatan Thai. Chukiat mengupah seorang Somsark, samseng yang ganas di selatan Thai untuk membunuh mereka. Ayah Katsarin terkorban ketika cuba menyelamatkan Katsarin. Walaupun Katsarin menyangka ayahnya cuma menyayangi Phapop tetapi apa yang dilakukan ayah Katsarin amat mengkagumkan. Ayah Katsarin ternyata lebih menghargai nyawa anaknya.

Beberapa hari di calet Halim telah mengembalikan kekuatan kepada Katsarin. Hubungan Erina dengan Zali menjadi lebih rapat setelah Zali menyelamatkan Erina daripada beberapa pemuda yang mabuk. Zali mengakui dia adalah suami Erina ketika Erina diganggu pemuda tersebut.
Ketika berkunjung ke bandar, Zali telah membawa Katsarin membuat laporan di balai polis sambil memastikan tiada orang yang mencari Katsarin. Bagaimanapun, kehadiran mereka telah dikesan oleh Somsark yang ketika itu berada di Langkawi dan sedang mencari Katsarin. Phapop juga turut berada di situ. Malangnya, kedua dua Zali dan Katsarin telah balik ke calet mereka sebelum sempat Phapop dan Somsark mendapatkan mereka.

Jejak Katsarin membawa kedua-dua Somsark dan Phapop ke calet kepunyaan Halim. Erina telah diugut kumpulan Somsark untuk memberitahu di mana Katsarin berada dan sekali lagi Zali menyelamatkannya. Menyedari mereka yang datang mencari Katsarin, Zali membawa mereka (Katsarin, Erina dan Sue) untuk keluar dari kawasan calet. Bagaimanapun dia dicederakan oleh Somsark. Dalam saat cemas dan Katsarin hampir ditangkap, Phapop muncul menyelamatkan keadaan dengan menyuruh mereka pergi dari situ sementara dia berusaha melawan Somsark.

Erina telah mengajak Zali untuk ke kampungnya yang berada tidak jauh dari calet tersebut. Di sana, tentunya mereka lebih selamat kerana datuk Erina adalah seorang guru silat yang handal. Kedatangan Zali ke kampung Erina disambut baik keluarga Erina. Elemen kehidupan kampung moden dengan penduduk yang ramah menyerikan drama ini. Katsarin ketika berada di kampung Erina telah menjalani rawatan penjagaan kulit secara tradisional. Ini dilakukan oleh emak Erina setelah melihat kesan terbakar matahari di wajah Katsarin.

Di kampung tersebut juga terdapat seorang pemuda bernama Aiman yang begitu tergilakan Erina. Dia begitu optimis dengan cintanya berbalas sehinggakan ingin meminang Erina. Ini sangat melemaskan Erina. Aiman adalah anak manja keluarganya dan hubungan kekeluarga antara keluarga Erina dan keluarga Aiman adalah baik. Malah, Aiman telah memberitahu emak Erina bahawa dia akan menghantar rombongan untuk meminang Erina sebaik sahaja Erina balik ke kampung. Untuk menolak terus harapan Aiman (Erina langsung tidak suka dengan perangai Aiman yang terlalu kebudak-budakan), Erina meminta Zali berpura-pura menjadi teman lelakinya. Zali bagaimanapun menolak. Tetapi apabila melihatkan betapa gilanya Aiman ketika berdepan Erina dan keadaan Erina yang gelabah dan tidak tahu berbuat apa-apa, Zali mengaku kepada Aiman bahawa dia sebenarnya adalah kekasih Erina dan dia ke situ kerana mahu memberitahu keluarga Erina bahawa dia mahu meminang Erina. Erina yang tergamam turut mengakui bahawa Zali adalah kekasihnya.

Aiman kecewa dengan perkembangan tersebut dan berhasrat meninggalkan kampung membawa diri. Bagaimanapun sebaik sahaja terlihat wajah Katsarin, Aiman jatuh hati pula kepada Katsarin.
Ketika Zali mengaku dirinya sebagai kekasih Erina, dia tidak menyangka emak Erina turut berada di situ dan mendengar apa yang dikatanya. Malah Erina sendiri telah mengiyakannya. Sekejap saja berita Erina sudah ada teman lelaki tersebar di seluruh kampung. Ini membuat Zali merasa rimas malah Halim sendiri terkejut dengan perkembangan tersebut. Datuk Erina datang bertanyakan hal tersebut dan apabila melihat Zali dia menerima Zali sebagai calon pasangan cucunya. Zali yang takutkan datuk Erina tidak berani bersuara. Datuk Erina membawa Zali ke rumahnya untuk mengajarnya beberapa buah silatnya sebagai bekal menjaga cucunya nanti.

Apabila keadaan menjadi agak kecoh dengan berita pertunangan Erina, Erina memberitahu emaknya bahawa Zali bukan kekasihnya dan Zali sendiri tidak begitu menyukainya. Zali cuma mengaku sebagai kekasihnya kerana kasihankannya. Bagaimanapun, emak Erina telah dapat mengesan bahawa Erina begitu menyukai Zali.

Zali, Erina dan Katsarin terpaksa melarikan diri sekali lagi apabila Somsark dan kumpulannya sampai ke kampung tersebut. Walaupun datuk Erina telah berjaya mengalahkan mereka, namun Somsark telah berikrar bahawa dia tetap akan mencari Katsarin.

Zali membawa Erina dan Katsarin berjumpa emaknya di Alor Setar. Emak Zali agak terkejut melihat persamaan wajah Erina dan arwah isteir Zali, Alisa. Memandangkan mereka lari dair kampung Erina sehelai sepinggang, emak Zali telah menyuruh Erina memakai pakaian Alisa.

Zali tidak dapat mengawal perasaannya ketika balik ke rumahnya kerana dia masih merindui isterinya. Jadi kebanyakan masa dihabiskan luar dari rumahnya. Bagaimanapun apabila balik pada satu malam dia telah ternampak 'Alisa' di ruang tamu. Menyangkakan, Erina yang memakai pakaian Alisa itu Alisa, Zali telah memeluknya. Zali memberitahu 'Alisa' bahawa dia amat merindui Alisa dan berharap 'Alisa' tidak akan meninggalkannya lagi. Erina begitu tersentuh tetapi memberitahu Zali bahawa dia adalah Erina dan Alisa telah tiada. Sekali lagi Zali keluar dari rumah kesedihan.

Dalam pada itu, Katsarin begitu tersentuh melihat dalamnya kasih Zali terhadap isteirnya. Dia juga telah mula menaruh perasaan terhadap Zali yang telah tiga kali menyelamatkan nyawanya. Di rumah Zali juga, Katsarin telah mula mengingati siapa dirinya. Dalam pada itu Phapop telah datang membawa beberap dokumen penting kepada Katsarin. Antara dokumen yang penting adalah paspot Katsarin, berita kematian ayahnya, kad kredit Katsarin dan laporan dalang di sebalik kematian ayah Katsarin. Phapop memberitahu Katsarin bahawa nyawanya di dalam bahaya dan dia tidak boleh kembali ke Bangkok buat seketika. Bagaimanapun, Katsarin tidak mempercayai Phapop kerana dalam ingatannya, dia sangat bencikan Phapop.

Untuk menyelamatkan Katsarin, Phapop telah mengajar Zali beberapa aspek penting pertahanan muei thai. Dia memberitahu Zali bahawa walaupun, Katsarin tidak mempercayainya tetapi dia adalah pengawal peribadi Katsarin. Sementara dia cuba menghalang pakcik Katsarin (Chukiat) dari berhasil mengesan Katsarin dan berusaha membunuhnya, dia meminta Zali menghalang Katsarin dari balik ke Bangkok.
Sementara itu, Katsarin cuba untuk menawan hati Zali. Dia menjadi begitu rapat dengan Zali sehinggakan Erina cemburu dengan keakraban mereka. Emak Zali sedar Erina amat menyukai anaknya dan Zali sendiri turut menyukai Erina. Malangnya buat Zali, dia merasa seperti berlaku kianat kepada isterinya kalau dia menyintai orang lain selain isterinya. Oleh itu, dia lebih banyak berdiam dari meluahkan perasaannya.
Dalam pada itu, Katsarin telah berjaya memberi keyakinan kepada Zali untuk kembali menulis. Zali begitu bersemangat untuk menulis apabila Katsarin seringkali meintanya bercerita mengenai idea penulisannya dan karya yang pernah diterbitkan. Katsarin meminta Zali menulis sebuah cerita berjudul Katsarin yang mengisahkan percintaan seorang gadis Thai dengan lelaki melayu. Zali tidak menghampakan Katsarin lalu mulai menulis novel tersebut.

Erina merasa agak kecewa kerana dia gagal memberi semangat kepada Zali untuk kembali menulis tetapi sebaliknya seorang gadis Thai yang lebih berjaya. Malah, sangka Erina, Zali telah jatuh hati kepada Katsarin. Lebih memilukan, Katsarin pernah memberitahu Erina bahawa dia sukakan Zali dan menganggap Zali sebagai seorang lelaki yang amat baik. Meskipun kecewa, Erina tetap menyediakan makan dan minum Zali ketika dia menemani Katsarin di rumah Zali. Ketika Zali tertidur di meja komputernya, Erina akan muncul menyelimut Zali atau menyediakan kopi untuknya. Zali agak tersentuh dengan jagaan Erina tetapi tidak mahu bersuara.

Katsarin pula telah memberitahu Zali bahawa dia amat sukakan Zali dan mahu berkahwin dengan Zali. Zali menolak dengan mengatakan Katsarin adalah terlalu kaya untuk dirinya. Zali tidak mahu berkahwin dengan Katsarin kerana dia tidak mahu hidup dengan memakan hasil kekayaan isterinya. Alasannya jika dia berkahwin dengan Katsarin, dia haruslah menjadi kaya dahulu. Ini membuat Katsarin bertekad untuk menjadikan Zali seorang yang kaya.

Ketika keluar bersiar, Erina telah terserempak dengan Hafis, seorang usahawan yang berjaya di dalam industri makanan dan barangan halal. Hafis yang dahulunya berada di calet Erina ketika Erina diganggu tiga lelaki mabuk bertanya khabar akan suami Erina (Zali). Erina memberitahu Hafis bahawa dia belum berkahwin dan Zali cumalah kawannya. Ini membuat Hafis begitu berminat dengan Erina. Mereka bertukar nombor telefon.

Hubungan Hafis dan Erina segera menjadi rapat apabila Erina merasa kecewa melihat intimnya Katsarin dan Zali. Katsarin dan Zali selalu berbual bersama dan banyak menghabiskan masa berdua. Zali seperti memerlukan Katsarin di mana sahaja. Sehinggakan berlatih silat pun mereka berdua. Erina terasa dia tidak mempunyai peluang langsung untuk memiliki hati Zali. Ini membuat dia kecewa dan memilih untuk berkawan dengan Hafis.

Hafis pula sebagai seorang usahawan muda mempunyai minat yang mendalam dalam permotoran berkuasa tinggi. Hafis mempunyai persekitaran kawan elit perniagaan yang banyak menghabiskan masa bersama. Walaupun Hafis begitu ikhlas akan minta dan niatnya kepada Erina, Erina mendapati dia tidak mempunyai apa apa persamaan dengan Hafis. Hafis lebih suka menghabiskan masa dengan kawan-kawannya dari golongan usahawan dan mencari peluang perniagaan dan hobi mereka. Erina pula lebih sukakan ketenangan dan suasana hidup dengan tidak terikat dengan terlalu banyak cakap-cakap niaga. Erina cuba menggunakan Hafis untuk membuat Zali cemburu tetapi malangnya Zali sedikit pun tidak cemburu dengan hubungan mereka. Akhirnya Erina menolak perlawaan Hafis untuk meminangnya.

Dalam pada itu, Chukiat telah muncul untuk mengajak Katsarin mengikutnya kembali ke Bangkok. Phapop turut muncul untuk menjaga keselamatan Katsairn dari rancangan jahat pakciknya. Walaupun berat untuk meninggalkan Zali, Katsarin mengikut Chukiat kembali ke Bangkok untuk menyempurnakan segala hal perniagaan mereka selepas ketiadaan ayah Katsarin.

Apabila Katsarin bertolak ke Bangkok, Erina juga menyatakan hasratnya untuk kembali ke Langkawi. Tugasnya apabila berada di rumah Zali adalah untuk membantu Katsarin dan dengan ketiadaan Katsarin, adalah tidak molek dia berada di rumah Zali. Zali mempelawa dirinya untuk menghantar Erina ke jeti tetapi ditolak Erina kerana Hafis telah terlebih dahulu menawarkan dirinya. Erina memarahi Zali kerana terlambat bertindak dan tidak tahu menjaga hatinya. Ini membuat Zali sendiri terkejut apabila dimarahi Erina. Apabial di jeti, Hafis sekali lagi memberitahu Erina bahawa dia akan cuba mengambil hati Erina dan yakin akan berjaya memenangi hati Erina. Erina memberitahu Hafis bahawa hatinya telah lama ditawan lelaki lain. Cuma malangnya lelaki tersebut tidak mahu menghargainya. Bagaimanapun, dia akan tetap menanti lelaki tersebut.

Zali telah datang dengan curi-curi untuk menghantar Erina. Dia tidak mahu Erina melihatnya menghantar Erina di jeti tetapi mahu melihat Erina selamat di jeti. Kehadirannya dikesan Hafis yang mengsyaki Zali adalah orang yang dimaksudkan Erina. Ini adalah kerana Erina tidak putus-putus mencari Zali sebelum dia bertolak. Hafis menyuruh Zali jujur dengan hatinya dan memilih dengan cepat Erina sekiranya dia menyukai Erina. Dia memberitahu Zali bahawa dia tidak akan melepaskan Erina selagi dia belum berkahwin.

Sepeninggalan Katsarin dan Erina, Zali mulai merasa sunyi. Dia ingin menelefon Erina tapi tidak berani dan tidak tahu apa pula yang ingin dikatanya. Begitu juga pada Katsarin, dia ingin menghubungi tetapi tidak tahu apa yang patut dikatanya. Bagaimanapun, dalam keresahan tersebut, Katsarin telah menelefonnya dan mereka berbual dengan begitu gembira. Katsarin memberitahu Zali bahawa dia telah memikirkan cara bagaimana menjadikan Zali kaya dan berharap Zali akan menepati janjinya, akan mengahwini Katsarin sekiranya dia juga seorang yang kaya. Katsarin meminta Zali segera menghabis bukunya dan kemudian mendengar perkembangan cerita novel Zali dengan penuh minat.

Selesai bercakap dengan Katsarin, Zali berfikir untuk menelefon Erina tetapi tidak berani. Bagaimanapun, dia menelefon Sue untuk bertanya khabar akan Erina. Sue bagaimanapun, telah memberi telefon kepada Erina dengan memberitahu Zali bahawa Erina amat rindukan Zali dan tak habis-habis nantikan telefon dari Zali. Zali dan Erina kemudiannya berbual an perbualan mereka menjadi lebih baik dari biasa dan masing-masing terasa lega setelah berbual. Erina meminta Zali selalu sms kepadanya. Perhubungan di antara Zali, Katsarin dan Erina kemudiannya menjadi hubungan rapat melalui sms dan emel. Selang beberapa minggu kemudian Katsarin memberitahu Zali untuk berjumpanya di Langkawi kerana dia mahu ke Langkawi untuk menghadiri seminar perdagangan kawasan utara. Zali berjanji akan ke Langkawi dan dia memberitahu Erina bahawa dia akan ke Langkawi.

Di jeti, Erina begitu gembira untuk bertemu Zali dan ketika menanti ketibaan feri Zali, Sue mengajak Erina untuk menemaninya makan. Apabila feri Zali sampai, Erina yang terlambat menyambut Zali kecewa melihat Katsarin terlebih dahulu menyambut ketibaan Zali. Katsarin mengajak Zali untuk tinggal di hotel yang sama dengan hotel yang dipilihnya tetapi Zali menolak. Dia memilih untuk tinggal bersama Sue di rumah Halim berdekatan rumah Erina. Kehadiran Katsarin telah membawa Phapop bersama. Phapop memberitahu Zali bahawa tujuan sebenar Chukiat membawa Katsarin ke situ adalah untuk membunuhnya. Dia berharap Zali membawa Katsarin untuk tinggal bersamanya di kampung Erina. Bagaimanapun, sebelum Katsarin sempat tiba di kampung Erina, dia telah diculik Somsark dan kumpulannya.

Dalam pada itu, Katsarin makin benci kepada Phapop apabila dia terdengar Phapop bersetuju dengan pelawaan Chukiat dan menerima wang lebih daripada RM100,000 untuk tidak membantu Katsarin ketika mereka bertindak untuk membunuhnya.

Aiman yang mengekori Katsarin telah memberitahu Zali bahawa Katsarin telah diculik kumpulan Somsark. Bagaimanapun, Katsarin gagal telah dikesan. Erina telah menghubungi abangnya meminta dia menyuruh kawan-kawan mencari kereta sewa yang dinaiki Somsark. Akhirnya ia dikesan di Pantai Cenang. Zali dengan bantuan Phapop telah menyelamatkan Katsarin. Phapop tercedera semasa cuba menyelamatkan Katsarin. Ini membuat Katsarin akhirnya sedar kenapa bapanya begitu menyayangi Phapop. Akhirnya dia menerima Phapop sebagai abangnya seperti yang diharapkan ayahnya.

Dalam pada itu Erina juga telah tercedera semasa menyelamatkan Katsarin. Zali begitu risaukannya. Erina akhirnya tersentuh dengan luah hati Zali ketika menyangka Erina sudah meninggal dunia. Zali memberitahu Erina dia tidak sanggup kehilangan orang yang disayangnya dua kali dan itu sangat mengharukan Erina dan mereka yang berada di situ. Malah Zali terasa begitu kosong apabila kedua dua Katsarin dan Erina tidak sedarkan diri ketika berlaku pergelutan menyelamatkan mereka dari genggaman Somsark yang begitu handal bertomoi.

Rancangan Chukiat akhirnya terdedah apabila Zali dan Phapop mendapat pengakuannya. Apabila rancangannya terdedah dan Katsarin yang disangkanya mati muncul di depannya, Chukiat melarikan diri. Kasarin mebiarkan pakciknya melarikan diri kerana ke mana saja Chukiat pergi selepas itu tentunya dia berada di dalam ketakutan kerana terasa diburu oleh polis.

Apabila kedua dua Katsarin dan Erina sedar dari pengsan, mereka meminta Zali memilih seorang dari mereka. Ini membuat Zali begitu tertekan. Akhirnnya dia membuat keputusan untuk menghilangkan diri selama tiga tahun dan sekiranya mereka berjodoh pastinya mereka akan dapat menantinya.

Tiga tahun kemudian, novel Hatiku Di Selatan Thailand karya Zali muncul di pasaran. Novel Zali begitu mendapat sambutan setelah novelnya Cinta Katsarin, Seorang Gadis Thai berjaya mencapai box office. Dalam sesi berjumpa peminat, Katsarin dan Erina muncul menagih janji terdahulu. Pada mulanya Katsarin muncul memberi buku kepada Zali untuk ditandatangani. Zali begitu gembira melihat kehadiran Katsarin. Katsarin memberitahunya bahawa dia telah menanti selama tiga tahun dan dia begitu yakin bahawa penantiannya tidak sedikitpun merugikan. Dia tetap akan memilih Zali. Zali begitu terharu dan gembira. Seketika kemudian, Erina turut muncul menagih janji dari Zali.

MATLAMAT / MESEJ

1. Setiap perbuatan yang baik akan mendapat pembalasan yang setimpal dan begitu juga setiap perbuatan yang buruk akan mendapat pembalasan yang buruk.

2. Ciri ciri utama yang menjadikan masyarakat bumiputra negara begitu dihormati adalah aspek kesopanan dan sikap memberi bantuan dengan ikhlas. Sikap ikhlas ini akan membentuk peribadi yang disegani dan disayangi.

3. Perjanjian AFTA dan pembentukan kawasan perdagangan utara tidak dapat tidak akan membawa kepada pertembungan budaya dan sosial yang menggalakkan. Katsarin memperlihatkan aspek perdagangan antara dua negara (Thailand dan Malaysia) dan komitmen untuk kekal berdagang bersih dan sihat walaupun mendapat halangan yang hebat daripada golongan oportunis yang berharap kepada keuntungan segera daripada perdagangan yang tidak halal.

4. Dalam aspek mempertahankan diri, tiap-tiap negara mempunyai seni mempertahankan diri masing-masing dan mempunyai keistimewaan tertentu. Pembentukan jatidiri atau modal insan itu sendiri menjadi lebih bermakna apabila seseorang itu memperbanyakkan pengetahuan memahami seni-seni asing seperti tomoi atau tae kwan do dan seni silat di dalam negara. Di samping mampu menjadikan tubuh sihat ia juga sangat berguna untuk mempertahan diri dan keluarga di saat-saat keperluan.

5. Perubatan tradisional seperti perubatan herba mencuci kulit muka dan kulit rosak sudah mula mendapat tempat di pasaran tempatan sebagai bahan alternatif penjagaan kulit. Peluang menjadikan produk tradisional tempatan mendapat sambutan umum malah menembusi pasaran antarabangsa haruslah diterokai.

6. Dengan mempertengahkan ciri-ciri drama yang baik dan bermutu, drama-drama tempatan kita mampu bersaing sehebat drama-drama Korea dan matlamat Katsarin adalah memberikan sebuah drama yang bermutu dengan mempertengahkan aspek sosial budaya tempatan.

1 comment:

  1. Cepat2 upload episode 1 and the drama you wrote for Aziz, yang Farhin and Umi Aida berlakon tu...:)

    ReplyDelete